Cinta anugerah teragung yang dicipta kepada manusia oleh Illahi... Hargailah ia sebelum ia pergi meninggalkan kita .. Hargailah Cinta sebelum ia Pergi x Kembali lagi..

Monday, 26 September 2011

Chong Wei terus ditimpa malang


CHONG WEI gagal mempertahankan gelaran juara Terbuka Jepun selepas tewas kepada Chen Long semalam.


APA sudah jadi Datuk Lee Chong Wei? Selepas gagal untuk bergelar juara dunia bulan lalu, jaguh badminton perseorangan negara itu sekali lagi ditimpa nasib malang.
Kali ini, dia tewas mengejut kepada bintang muda China, Chen Long pada aksi final di Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Jepun 2011 yang berlangsung di Tokyo semalam.
Tampil selaku pemain pilihan pertama kejohanan, misi Chong Wei untuk memburu kejuaraan buat kali keempat pada terbuka Jepun yang memasuki edisi ke-30 kali ini gagal apabila dia tewas 8-21, 21-10, 12-21.
Chong Wei yang juga merupakan pemain ranking No. 1 dunia pada awalnya dilihat tidak berdepan halangan sukar untuk menewaskan Chen Long, sekali gus bergelar juara berdasarkan rekod pertemuan kedua-dua pemain itu.
Ini kerana, Chong Wei berjaya memenangi empat daripada lima pertemuan sebelum itu.
Malah, penarikan diri seteru utamanya, Lin Dan dari China pada aksi separuh akhir kelmarin juga dilihat telah mencerahkan lagi peluang buat jaguh negara itu untuk bergelar juara.
Namun, segala andaian tersebut jauh meleset apabila corak permainan Chong Wei dilihat serba tidak menjadi terutama ketika dia tewas pada set pertama ketika menentang Chen Long itu.
Biarpun kembali bangkit pada set kedua, Chong Wei gagal menyekat kemaraan Chen Long yang tampil agresif untuk mencatatkan kemenangan pada set ketiga, sekali gus merekodkan kejuaraan buat kali kedua dalam tempoh dua minggu.
Sebelum itu, Chen Long tampil bergaya apabila merekodkan kejuaraan pada Terbuka China Master minggu lalu.
"Ia merupakan satu perlawanan yang menarik. Pada perlawanan itu saya langsung tidak memikirkan mengenai apa-apa kerana saya hanya memberi tumpuan penuh terhadap corak permainan saya.
"Saya masih muda manakala Chong Wei pula memiliki kekuatan dan pengalaman yang cukup luas. Saya dikira bertuah kerana dapat memenangi perlawanan hari ini (semalam)," kata Chen Long.
Bagi peminat-peminat tempatan, kekalahan yang dialami Chong Wei pastinya menghadirkan rasa kecewa dalam diri mereka.
Namun, ada segelintir pihak menganggap ia hanyalah drama semata-mata kerana Chong Wei kecewa tidak dapat membuat perhintungan dengan Lin Dan selepas pemain itu membuat keputusan menarik diri.
Pertemuan final antara Chong Wei dengan Lin Dan memang dinanti-nantikan kerana kedua-dua pemain itu ada misi peribadi yang ingin dilaksanakan.
Apa tidaknya, Chong Wei mahu mempertahankan kejuaraan dan mahu membalas dendam selepas tewas pada final Kejohanan Dunia di London bulan lalu ke atas Lin Dan manakala jaguh China itu pula mahu kembali merampas kejuaraan Terbuka Jepun.
Begitupun, misi tersebut tidak kesampaian selepas Lin Dan menarik diri.

No comments:

Post a Comment