USAHA... Abby terima jika usaha memulihkan hubungannya dengan Zul tidak berhasil.
Kebetulan pada hari itu Zul menyambut ulang tahunnya ke-25. Abby secara terbuka mengakui sangat menyayangi aktor berdarah kacukan Melayu Belanda itu, namun apakan daya, keadaan dan nasib tidak menyebelahi mereka.
Harapan yang bersulam indah selama tiga tahun saling menyayangi hanya tinggal kenangan, namun dia reda biarpun hakikatnya kisah sedih itu sangat pedih untuk ditelan.
Ketika dihubungi kelmarin bagi mendapatkan penjelasan, Abby dengan rendah hati meminta supaya perkara ini tidak diperbesar-besarkan. Bukan tidak memahami tugas media, namun dia tidak tahu bagaimana untuk menceritakan keadaan yang sebenar.
“Saya bukan tidak mahu berkongsi, tetapi cukuplah dengan penjelasan yang saya tulis dalam blog pada 25 Oktober lalu. Saya meluahkan apa yang dirasa selepas kira-kira tiga minggu kami tidak bertemu.
“Adakalanya apabila kita sayangkan seseorang, kita kena bersedia melepaskannya. Mungkin itu adalah jalan yang terbaik dan apa penyebab hubungan kami renggang, itu tidak boleh saya ulas kerana terlalu peribadi. Biarlah ia menjadi rahsia antara saya dan Zul.
“Macam yang saya jelaskan sebelum ini, biarlah dia bahagia dengan kehidupannya dan sebagai insan yang menyayanginya, saya tumpang gembira dengan apa yang dia ada kini. “Tidak mengapalah andai dia tidak sedar saya selalu berada di sisinya selama ini,” katanya tenang.
Abby tidak menafikan ujian ini sangat berat baginya, malah tiada kata-kata dapat menggambarkan kesedihan yang bersarang di tangkai hati. Enggan meletakkan sebarang harapan, Abby berkata biarlah takdir yang menentukan apa kesudahan hubungannya dan Zul.
“Mungkin ada kesilapan yang saya lakukan tanpa sedar sebelum ini dan inilah bayaran yang saya harus terima. “Saya tidak berani cakap apa kesudahan hubungan kami tetapi selepas luahkan apa yang saya rasa tempoh hari, Zul ada bertemu saya.
“Kami berbincang dan daripada situ, sedar perpisahan ini tidak sepatutnya berlaku.
“Sudah banyak cabaran yang kami tempuh bersama dan terasa janggal pula apabila terpaksa berjauhan. “Justeru itu, kami mengambil jalan tengah dengan cuba memperbaiki kelemahan masing-masing dan kita tengoklah macam mana selepas ini.
“Harap semuanya akan baik-baik saja dan keadaan akan kembali pulih seperti dulu tetapi andai tertulis sebaliknya, saya reda,” katanya.
No comments:
Post a Comment