Cinta anugerah teragung yang dicipta kepada manusia oleh Illahi... Hargailah ia sebelum ia pergi meninggalkan kita .. Hargailah Cinta sebelum ia Pergi x Kembali lagi..

Saturday, 29 October 2011

Abby reda

USAHA... Abby terima jika usaha memulihkan hubungannya dengan Zul tidak berhasil.
USAHA... Abby terima jika usaha memulihkan hubungannya dengan Zul tidak berhasil.
TIADA angin tiada ribut, tiba-tiba kita dikejutkan dengan berita hubungan cinta pasangan popular, Abby Abadi dan Zulkifli Ariffin atau Zul sudah berakhir. Perkhabaran ini mula tersebar selepas Abby meluahkan isi hati di blog peribadinya pada Selasa lalu.
Kebetulan pada hari itu Zul menyambut ulang tahunnya ke-25. Abby secara terbuka mengakui sangat menyayangi aktor berdarah kacukan Melayu Belanda itu, namun apakan daya, keadaan dan nasib tidak menyebelahi mereka.

Harapan yang bersulam indah selama tiga tahun saling menyayangi hanya tinggal kenangan, namun dia reda biarpun hakikatnya kisah sedih itu sangat pedih untuk ditelan.
Ketika dihubungi kelmarin bagi mendapatkan penjelasan, Abby dengan rendah hati meminta supaya perkara ini tidak diperbesar-besarkan. Bukan tidak memahami tugas media, namun dia tidak tahu bagaimana untuk menceritakan keadaan yang sebenar.

“Saya bukan tidak mahu berkongsi, tetapi cukuplah dengan penjelasan yang saya tulis dalam blog pada 25 Oktober lalu. Saya meluahkan apa yang dirasa selepas kira-kira tiga minggu kami tidak bertemu.

“Adakalanya apabila kita sayangkan seseorang, kita kena bersedia melepaskannya. Mungkin itu adalah jalan yang terbaik dan apa penyebab hubungan kami renggang, itu tidak boleh saya ulas kerana terlalu peribadi. Biarlah ia menjadi rahsia antara saya dan Zul.

“Macam yang saya jelaskan sebelum ini, biarlah dia bahagia dengan kehidupannya dan sebagai insan yang menyayanginya, saya tumpang gembira dengan apa yang dia ada kini. “Tidak mengapalah andai dia tidak sedar saya selalu berada di sisinya selama ini,” katanya tenang.

Abby tidak menafikan ujian ini sangat berat baginya, malah tiada kata-kata dapat menggambarkan kesedihan yang bersarang di tangkai hati. Enggan meletakkan sebarang harapan, Abby berkata biarlah takdir yang menentukan apa kesudahan hubungannya dan Zul.
“Setiap kali terkenangkan doa peminat yang mengharapkan kami melangkah ke jinjang pelamin, hati saya dihimpit rasa sayu. Itulah juga harapan yang pernah kami rencanakan sebelum ini tetapi sebagai manusia kita hanya merancang, Tuhan yang menentukan.

“Mungkin ada kesilapan yang saya lakukan tanpa sedar sebelum ini dan inilah bayaran yang saya harus terima. “Saya tidak berani cakap apa kesudahan hubungan kami tetapi selepas luahkan apa yang saya rasa tempoh hari, Zul ada bertemu saya.

“Kami berbincang dan daripada situ, sedar perpisahan ini tidak sepatutnya berlaku.

“Sudah banyak cabaran yang kami tempuh bersama dan terasa janggal pula apabila terpaksa berjauhan. “Justeru itu, kami mengambil jalan tengah dengan cuba memperbaiki kelemahan masing-masing dan kita tengoklah macam mana selepas ini.

“Harap semuanya akan baik-baik saja dan keadaan akan kembali pulih seperti dulu tetapi andai tertulis sebaliknya, saya reda,” katanya.

Ular sawa telan rusa dibunuh


ULAR SAWA betina yang ditangkap di Taman Negara Everglades, negeri Florida, Amerika Syarikat (AS) pada Khamis lalu.


TAMAN NEGARA EVERGLADES, Amerika Syarikat (AS) - Beberapa pekerja di Taman Negara Everglades, negeri Florida, menangkap dan membunuh seekor ular sawa Burma sepanjang 4.87 meter.
Reptilia itu ditangkap semasa ia kekenyangan selepas menelan seekor rusa seberat 34.5 kilogram.
Penyelaras spesies eksotik Suruhanjaya Perikanan dan Hidupan Liar Florida, Scott Hardin berkata, pekerja-pekerja berkenaan menemui ular sawa betina itu pada Khamis lalu.
Menurutnya, ular itu ialah antara reptilia terbesar pernah ditemui di Florida Selatan. - Agensi

Lebih 20,000 khatam Al-Quran serentak



SEBAHAGIAN daripada lebih 20,000 pelajar KAFA membaca ayat-ayat suci Al-Quran menggunakan e-Book pada majlis khatam beramai-ramai di Kuala Terengganu semalam.


KUALA TERENGGANU - Terengganu semalam mencipta rekod baharu dalam Malaysia Book of Records apabila seramai 20,133 pelajar Kelas Fardu Ain (KAFA) negeri ini khatam Al-Quran.
Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri Khazan Che Mat berkata, jumlah itu meningkat berbanding catatan tahun lepas seramai 16,929 orang.
"Untuk majlis kali ini, kita mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records," katanya kepada pemberita selepas Majlis Khatam Al-Quran & Anugerah Kecemerlangan Ujian Penilaian(UPKK) pelajar Kelas Al-Quran & Fardu Ain (KAFA) negeri Terengganu 2011.
Khazan berkata, Melaka merupakan negeri kedua paling ramai pelajar KAFA membuat khatam al-Quran iaitu 15,033 orang.
Beliau berkata, majlis khatam Al-Quran di Terengganu semalam dibuat serentak di seluruh negeri iaitu Kuala Terengganu seramai 6,325, Besut (3,149), Setiu (2,311), Marang (2,744), Hulu Terengganu (1,910), Dungun (2,024) dan Kemaman (1,670).
Sebahagian besar daripada pelajar berkenaan menggunakan Al-Quran digital menerusi e-Book yang diagihkan kerajaan, katanya.

Sunday, 23 October 2011

Tomok bakal jadi bapa


E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
KUALA LUMPUR: “Alhamdulillah, isteri saya sudah mengandung dua bulan dan saya bakal menjadi seorang bapa,” kata penyanyi Tomok atau atau nama sebenarnya Shah Indrawan Ismail, 27.
Menurutnya, doktor mengesahkan, isterinya, Siti Rahayu Abas, 32 sudah mengandung dua bulan sejak mereka berkahwin 1 Julai lalu.

Katanya, kelmarin dia membawa isterinya ke klinik di Alam Damai, Cheras, di sini memeriksa tahap kesihatan dan juga kandungan perut, dan dia gembira selepas diberitahu doktor dia bakal menjadi seorang bapa.
Beliau berkata, anaknya bakal dilahirkan pada tahun hadapan dan kini dia harus memberikan perhatian sepenuhnya menjaga isteri dan kandungan itu.

“Saya sangat gembira dengan berita ini dan bersyukur kerana isteri sudah mengandung. Saya kini perlu bekerja keras mencari wang kerana tanggungjawab saya akan bertambah,” katanya.

Kata Tomok, biarpun isteri disahkan sudah mengandung dia masih belum memilih nama yang sesuai untuk anaknya dan tidak kisah sama ada anak yang dilahirkan itu lelaki atau perempuan.

“Saya berharap anak yang akan dilahirkan ini nanti dalam keadaan sihat, dan berharap saya mampu untuk menjadi seorang bapa yang baik dan membentuk keluarga yang bahagia,” katanya.

Tomok berkata, sejurus disahkan mengandung, isterinya yang bekerja sebagai pramugari terpaksa mengambil cuti buat sementara waktu untuk berehat.

Saturday, 22 October 2011

Kecuaian sebabkan Jackson mati


LOS ANGELES, Amerika Syarikat (AS) - Seorang pakar bius memberi keterangan bahawa kecuaian dan pelanggaran standard penggunaan ubat bius kuat, propofol oleh doktor peribadi Michael Jackson, Conrad Murray membawa kepada kematian penyanyi itu.
Dalam keterangannya kepada panel juri kelmarin, pakar berkenaan, Dr. Steven Shafer berkata, kekurangan peralatan perubatan dan kegagalan Murray menyediakan nota serta rekod perubatan selain kegagalan hubungan doktor-pesakit menjadi faktor kematian Jackson.
Menurutnya, Murray bertindak seperti seorang pekerja penyanyi berkenaan dan bukan secara profesional sebagai seorang doktor.
Kata Shafer, pakar jantung itu sepatutnya menolak permintaan Jackson untuk menggunakan ubat bius propofol bagi membantunya tidur lena.
Shafer menunjukkan cara penggunaan betul ubat propofol kepada barisan juri.
Mereka turut menonton satu klip video mengenai langkah-langkah keselamatan yang gagal dilaksanakan oleh Murray semasa dia memberikan propofol kepada Jackson di sebuah banglo yang disewanya di sini.
"Penggunaan ubat bius paling berbahaya apabila langkah-langkah keselamatan diabaikan," kata Shafer.
"Dalam kes Jackson, tiada satu pun langkah keselamatan ini dilaksanakan," tambahnya.
Murray didakwa kerana cuai memberikan propofol sehingga menyebabkan kematian penyanyi berkenaan pada 25 Jun 2009. - Agensi

Mariah Carey tayang anak




MARIAH dan suami berbahagia dengan kelahiran anak kembarnya ini.



PASANGAN Mariah Carey dan Nick Cannon buat pertama kalinya menayang anak kembar mereka, Monroe dan Moroccan kepada umum dalam sebuah wawancara televisyen bersama pengacara terkenal, Barbara Walters.
Menurut akhbar Daily Mail, wawancara tersebut berlangsung di kediaman Carey dan Cannon di New York baru-baru ini.
Dalam wawancara yang akan ditayangkan itu, wajah bayi kembar Carey sengaja tidak didedahkan. Namun, Carey dilihat menggendong bayi perempuan, Monroe yang mengenakan gaun berwarna putih, sementara Nick pula menggendong bayi lelaki, Moroccan yang mengenakan blazer berwarna coklat muda.
Psangan selebriti itu membahaskan banyak hal, terutama mengenai peranan baharu mereka sebagai ibu dan bapa. Mereka juga memberitahu si kembar sudah diberikan nama panggilan Roc dan Roe.
Selain berbicara soal anak, WaBarbara juga mengajukan beberapa pertanyaan peribadi kepada Mariah. Dia bertanya apakah Mariah mempercayai suaminya selama tiga tahun ini dan Mariah menjawab: "Kadang-kadang!" Nick yang berada di sampingnya kelihatan cuba memprotes dalam canda.

Saturday, 15 October 2011

Psikologi jadi penentu


PEMAIN-PEMAIN Terengganu meraikan kejayaan mereka melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia 2011 selepas meranapkan impian Kelantan di Kota Bharu malam kelmarin.


TEKA-TEKI mengenai siapa lebih layak memegang status sebagai gergasi Pantai Timur 2011 akhirnya terjawab.
Kelmarin, Terengganu membuktikan mereka lebih layak memegang status itu selepas mengesahkan kemaraan ke pusingan separuh akhir setelah menewaskan musuh tradisi yang juga juara bertahan, Kelantan pada pertembungan klasik suku akhir Piala Malaysia 2011.
Kejayaan itu hadir selepas anak-anak buah Irfan Bakti berjaya mengikat tuan rumah dengan keputusan 2-2 di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bahru sekali gus mara dengan kemenangan agregat 5-3.
Apa yang pasti, kemenangan itu jelas membuktikan betapa anak-anak buah Irfan Bakti memiliki pakej lengkap dari segi fizikal dan mental.
Tanpa berselindung, Irfan mendedahkan bahawa kejayaan mereka mengikat Kelantan dengan keputusan 2-2 di Kota Bharu banyak didorong oleh faktor psikologi yang diterapkan dalam diri sebelas pemain utamanya.
“Saya orang Kelantan dan saya pernah bermain untuk Kelantan, jadi saya tahu di mana kekuatan dan kelemahan pasukan Kelantan.
“Semua akui bahawa Kelantan mempunyai kekuatan luar biasa yang tidak ada pada pasukan lain iaitu faktor penyokong. Mana-mana pemain atau pasukan yang gagal menyerap tekanan daripada ribuan penyokong Kelantan pasti akan tumbang,” katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.
Pada perlawanan suku akhir kedua kelmarin, kesebelasan utama Terengganu diketuai Marzuki Yusof terpaksa berdepan ribuan penyokong Kelantan yang membentuk gelombang merah di Stadium Sultan Muhammed IV.
Bagaimanapun, perancang berbisa, Ashaari Shamsuddin berjaya menutup mulut para penyokong Kelantan menerusi dua gol jaringannya pada babak pertama permainan.
“Dua hari sebelum perlawanan di Kota Bharu ini, saya telah mengingatkan para pemain agar kuatkan mental dan psikologi. Jangan tunduk kepada sorakan penyokong lawan dan jangan sesekali fikirkan mengenai kehadiran mereka.
“Alhamdullilah, pemain telah lakukan apa yang sepatutnya dan berjaya menyerap setiap sorakan penyokong lawan sehingga berakhir 90 minit permainan. Kekuatan inilah yang sangat-sangat saya hargai daripada para pemain,” tambah Irfan.
Dalam pada itu, Irfan turut memuji sikap profesional Abdul Manaf Mamat yang sedia diturunkan pada perlawanan kelmarin sekalipun masih diselubungi kesedihan ekoran kematian bapa tersayang 24 jam sebelum aksi di Kota Bharu.
“Saya tidak memaksanya untuk bermain, tetapi dia (Manaf) tetap mahu diturunkan dan sedia memberi fokus kepada perlawanan.
“Kehadirannya jelas menyuntik semangat para pemain dan ia sesuatu yang luar biasa apabila melihat pasukan kami bermain dengan baik,” jelasnya.
Mengulas pertemuan menentang Selangor pada aksi separuh akhir 18 Oktober ini, Irfan menganggapnya sebagai satu lagi pertembungan genting berdasarkan reputasi dan kebangkitan yang dipamerkan pasukan lawan.
“Kami akan mendapat kembali khidmat Ismail Faruqi dan Zubir Azmi pada perlawanan itu dan ia memberi lebih banyak pilihan kepada saya untuk menurunkan barisan terbaik,” ujarnya lagi.

Thursday, 13 October 2011

Lelaki tak kahwin kerana wanita terlalu sedikit di kampung India


BEBERAPA lelaki bujang tidur bersama di dalam sebuah bilik di kampung Siyani, India pada 5 Oktober lalu. - Reuters


SIYANI, India - Ramai lelaki di desa ini, negeri Gujerat, tidak dapat berkahwin kerana bilangan wanita yang jauh berkurangan berbanding kaum lelaki.
Sehingga kini, terdapat lebih 350 lelaki bujang berusia lebih 35 tahun ke atas di desa berkenaan yang dihuni sekitar 8,000 orang.
"Desa ini kekurangan prasarana atau pembangunan, justeru penduduknya rata-rata miskin dan tidak berpelajaran," kata seorang pemilik kilang gandum kecil, Prashant Dave, 41, yang bernasib baik kerana telah berumah tangga.
"Terdapat terlalu sedikit wanita dengan ramai di antara mereka meninggalkan desa untuk mencari kehidupan lebih baik," tambahnya.
Seorang penduduk Siyani, Bharatbhai Khair pula berkata, dia berusaha mencari calon isteri sejak 25 tahun lalu tetapi masih gagal.
"Saya kini berputus asa, biarlah saya hidup membujang," kata lelaki berusia 45 tahun itu.
Situasi tersebut berlaku ketika maklumat banci yang disiarkan tahun ini menunjukkan terdapat 914 perempuan untuk setiap 1,000 bayi lelaki di India.
Keputusan tersebut menunjukkan penurunan sejak 2001 apabila terdapat 933 perempuan untuk setiap 1,000 bayi lelaki. - Reuters

Jalan bertukar menjadi sungai



SEBATANG jalan raya bertukar menjadi sungai di wilayah Nonthaburi, Thailand semalam. - Reuters


AYUTTHAYA - Thailand semalam mengumumkan satu pertiga daripada wilayahnya akan menjadi zon bencana ekoran banjir besar di negara ini.
Tindakan kerajaan itu bertujuan untuk meningkatkan operasi bantuan semasa banjir tersebut meragut 281 orang serta berjuta-juta rumah dan penduduk terjejas.
beberapa batang jalan raya di sini juga bertukar menjadi sungai manakala seorang penduduk, Pathumwan Choichuichai berkata, tiada siapa menyangka air banjir akan meningkat tinggi.
Beberapa hari lalu, banjir tersebut mengubah Ayutthaya menjadi zon bencana dengan beberapa daerah hanya boleh dihubungkan melalui bot.
Imej di bandar ini menyebabkan penduduk Bangkok bimbang ibu kota Thailand tersebut akan dilanda banjir.
Penduduk yang panik telah membeli semua barang makanan di pasar raya semalam termasuk air botol serta mi segera.
Beg-beg pasir juga disimpan di sekitar beberapa hotel mewah bagi persediaan menghadapi banjir.
- Agensi

Tuesday, 11 October 2011

Pian syok sendiri!

AIDA...hanya berkawan dengan Pian Cecupak.
AIDA...hanya berkawan dengan Pian Cecupak.
KUALA LUMPUR: “Saya tidak pernah merancang untuk berkahwin dengan Pian Cecupak dan saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan dia, kononnya kami bakal berkahwin.
“Saya tahu Pian sengaja mengeluarkan kenyataan itu untuk mencari publisiti murahan,” kata model sambilan, Aida Hazira Ahmad Razman, 23.
Aida Hazira membidas kenyataan yang dikeluarkan pelakon yang pernah muncul dengan kontroversi suntikan kolagen iaitu Mohd Rafiq Abdul Rahman, 41 atau Pian Cecupak kononnya mereka merancang untuk berkahwin.

Harian Metro Sabtu lalu melaporkan Pian memberitahu media dia sudah berubah sepenuhnya dan kini merancang untuk mendirikan rumah tangga buat kali ketiga bersama wanita idaman yang juga seorang model sambilan, Aida Hazira dalam masa terdekat jika ditemukan jodoh.


Aida ketika ditemui di Ampang Park, di sini, semalam melahirkan rasa kesal dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh pelakon terbabit dan menafikan sekeras-kerasnya dia pernah merancang untuk berkahwin dengan selebriti itu.

“Saya hanya menganggap Pian sebagai kawan. Malah dia juga saya anggap seperti abang kerana dia pernah membantu saya, tidak lebih daripada itu,” katanya.

Pengadil bertindak ikut emosi


KEKECOHAN berlaku di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah selepas pemain Terengganu ditumbuk pemain Kelantan pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia 2011 kelmarin.


LIMA kad merah dan lebih 10 kad kuning yang dilayangkan dalam tempoh 90 minit pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia 2011 antara Terengganu dan Kelantan kelmarin sudah cukup membuktikan betapa mutu pengadilan bola sepak di negara ini berada pada tahap memalukan.
Sambil menyifatkan tindakan itu sebagai tidak profesional, para penyokong turut menyelar sikap terlalu emosi pengadil perlawanan, Mohd. Nafeez Abd. Wahab yang sewenang-wenangnya melayangkan kad kuning kepada para pemain.
Setiausaha Kelab Penyokong Bola Sepak Terengganu (Peteh), Wan Mohd. Azmi Wan Ngah berkata, pengadil sepatutnya mengawal permainan dengan tenang dan bukannya mencari kesalahan para pemain untuk dilayangkan kad kuning.
“Layangan lima kad merah dalam satu perlawanan memang tidak pernah berlaku dalam sejarah bola sepak negara dan ia cukup-cukup memalukan.
“Tindakan pengadil bukan sahaja membuatkan para pemain jadi tertekan, malah dianggap sebagai provokasi secara senyap kepada para penyokong kedua-dua pasukan,” jelasnya kepada Kosmo!.
Pada perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu itu, Terengganu berjaya mendapat bekalan selesa menjelang aksi suku akhir kedua apabila menang 3-1.
Namun, perlawanan yang dianggap ‘Pertembungan Pantai Timur’ itu dicemari dengan layangan lima kad merah masing-masing dua kepada pemain Terengganu (Ismail Faruqi dan Zubir Azmi) sementara tiga kepada pemain Kelantan iaitu Daudsu Jamaludin, Mohd. Aziz Ismail dan Mohd. Shakir Shaari.
Jelas Wan Mohd. Azmi lagi, sudah tiba masanya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) meneliti sistem pengadilan bola sepak di negara ini yang dianggap kerap menimbulkan kontroversi.
“Kita lihat pengadil seolah-olah mempunyai 'kuasa kebal' untuk menghukum pemain, sedangkan mana-mana jurulatih yang mengkritik sistem pengadilan akan menerima hukuman.
“Jadi, FAM perlu bersikap lebih adil dengan mendengar suara kedua-dua pihak sebelum membuat sebarang keputusan,” katanya.
Presiden Terengganu FC (TFC), Hazrul Hanafi pula berkata, tindakan pengadil yang melayangkan lima kad merah kelmarin telah merosakkan mutu permainan kedua-dua pasukan.
“Semua tahu Kelantan dan Terengganu merupakan dua pasukan terbaik di negara ini dan ekoran daripada tindakan pengadilan yang lemah, maka permainan yang sepatutnya menjadi baik telah bertukar seperti medan peperangan,” katanya.

Tangisan iringi Rain jalani khidmat negara


RAIN memberi tabik hormat di depan para peminatnya di luar sebuah latihan tentera di Uijeongbu, utara Seoul semalam.- Reuters


SEOUL - Ratusan peminat dari China, Jepun dan Malaysia menangis dan bersorak di luar bandar raya ini semalam bagi memgucapkan selamat jalan kepada penyanyi pop Korea Selatan, Rain yang menjalani perkhidmatan ketenteraan.
Rain yang nama sebenarnya, Jung Ji-hoon merupakan sebahagian daripada gelombang drama Korea dan muzik yang melanda Asia sejak dekad lalu.
Album ketiganya, It's Raining dijual satu juta unit di Asia selepas ia dikeluarkan pada 2004.

DUA peminat menangis semasa berhimpun di luar sebuah pusat latihan tentera di Uijeongbu, utara Seoul semalam. - Agensi


"Amat sedih kerana Rain akan pergi (menjalani perkhidmatan ketenteraan) selama dua tahun," kata seorang peminat dari Jepun, Sachiko yang datang ke Korea Selatan untuk menyaksikan konsert terakhir penyanyi tersebut dan menjadi saksi dia memasuki perkhidmatan ketenteraan.
"Saya pasti, semua peminatnya di Jepun mahu berada di sini hari ini. "Justeru, kami mahu memastikan kami melihatnya pergi," tambahnya.
Selain muzik, Rain membina kerjayanya dalam filem dan memulakan kariernya di Hollywood menerusi satu watak kecil dalam filem Speed Racer.
Dia pernah menjadi pelakon utama dalam filem kedua Hollywoodnya, Ninja Assassin yang menyebabkan dia memenangi anugerah daripada MTV.

RATUSAN peminat mengerumuni pintu masuk sebuah pusat latihan tentera di Uijeongbu, utara Seoul untuk melihat Rain semalam. - Agensi


Rain yang merupakan pemenang undian majalah Time pada 2006, 2007 dan 2011 akan menjalani perkhidmatan kerahan tentera selama 21 bulan dalam pasukan tentera Korea Selatan.
"Terima kasih kerana menyayangi saya dengan amat sepenuhnya sejak 10 tahun lalu.
"Selamat jalan dan saya akan kembali," kata Rain kepada para peminatnya.
Penyanyi itu yang dikenali ramai dalam drama Secret Garden menarik perhatian ribuan peminatnya apabila dia menandatangani perkhidmatan ketenteraan pada tahun ini.
Penyanyi berusia 28 tahun itu ditempatkan di sebuah pulau di sempadan Korea Utara yang tegang yang secara teknikalnya berperang dengan Korea Selatan selepas Perang Korea tamat pada 1953 dengan satu perjanjian gencatan senjata.- Reuters

‘Nak putus cara baik’

KUALA LUMPUR: Anggota kumpulan lawak Sepah, yang kini sudah berpecah, Mohd Noor Murad atau Mamat, 26, akur dengan keputusan kekasihnya juga seorang pelakon Fida Ibrahim (Fida), 25, mahu memutuskan hubungan mereka, namun menegaskan biar dilakukan dengan cara baik.
Pasangan ini mula menjalinkan hubungan cinta selepas Sepah muncul juara pertandingan realiti Maharaja Lawak disiarkan Astro, dan mereka muncul bersama sewaktu majlis rumah terbuka dilakukan rancangan hiburan Melodi, Ramadan lalu.

Waktu sama Mamat baru saja memutuskan hubungannya dengan penyanyi utama kumpulan Butterfly, Adda.
Mamat ketika ditemui di majlis pelancaran filem Sepah di sini semalam, berkata dia tidak tahu mengenai keputusan dibuat Fida yang menyatakan hubungan mereka sudah putus menerusi media, sebaliknya mengetahui melalui ibunya sendiri.

“Ibu ada menghubungi saya selepas membaca akhbar dan menonton Melodi, dan meminta saya bersabar dengan ujian ini. Saya akur, sekiranya itu yang terbaik bagi kami, saya terima. Saya menganggap ia sebagai satu hukuman atas kesalahan yang tidak saya rancang. Saya sendiri tidak suka berada dalam situasi di mana bertepuk sebelah tangan,” katanya.

Masalah antara dia dan Fida kata Mamat, seharusnya diselesaikan cara baik dan bukan mengambil keputusan tanpa berbincang.

“Saya beberapa kali menghubunginya bagi menyelesaikan masalah tetapi Fida menerusi pengurusnya, memberitahu saya boleh berhubung dengannya menerusi SMS. Itu bukan caranya.

“Saya mahu bersemuka, duduk berbincang dan membuat keputusan dengan cara yang betul. Sewaktu berkenalan dulu saya membawanya bertemu dengan ibu dan keluarga saya. Tapi sekarang apabila putus mengapa begini pula caranya,” katanya lagi.
Ditanya adakah dia masih menyayangi Fida, tanpa berselindung Mamat berkata kalau dia tidak mengasihi pelakon itu sudah tentu dia membalas setiap kenyataan diberikan untuk memburukkan kekasihnya itu.

“Kerana mencintai dirinya saya membuat keputusan mendiamkan diri. Bayangkan tidak mungkin saya sengaja mahu menyakiti hati orang yang saya sayang. Jujur saya tidak tidak sengaja meletakkan gambarnya yang menampakkan rambutnya,” katanya.

Tahun sibuk Ella




WALAUPUN telah lama berada di dalam industri seni, aura dan bahang Ratu Rock Malaysia masih lagi dirasai dan dinantikan oleh peminatnya seantero dunia. Wanita yang telah memulakan perjalanan karier seninya seawal umur 17 tahun ini masih lagi menjadi yang terhangat di pasaran tidak kiralah di dalam bidang nyanyian mahupun lakonan.
Berbicara mengenai lakonan, Norzila Aminuddin atau lebih dikenali dengan nama Ella ini pernah beberapa kali tampil di layar perak dan antara filem hebat lakonannya ialah Bayangan Maut, Pemburu Bayang dan yang terakhir Hanya Kawan.
Namun, berbanding pencapaiannya di dalam bidang nyanyian, ianya berbeza bagai langit dan bumi. Walaupun filem-filem lakonannya berjaya mengaut kutipan pecah panggung, Ella yang ditemui pada majlis sidang akhbar yang perkenalkan dirinya sebagai penyanyi pembuka tirai persembahan Whitesnake World Tour 2011 - Live In Malaysia di Hotel Hilton Kuala Lumpur berkata bidang nyanyian masih menjadi keutamaannya.
"Filem terakhir lakonan Ella ialah Hanya Kawan dan itu pada tahun 1997. Bukannya kerana ketiadaan tawaran berlakon untuk Ella, namun kesibukan jadual merupakan salah satu sebab mengapa Ella menolak.
"Ini kerana jika Ella berlakon, Ella perlukan banyak masa untuk terlibat dalam penggambaran. Namun, ada satu tawaran yang Ella masih pertimbangkan. Ella tidak boleh beritahu ia sekarang kerana ia belum lagi dipastikan. Tapi, Ella akui watak tersebut sangat menarik dan kerana itu Ella pertimbangkan," cerita Ella yang mana katanya produksi tersebut memberi peluang pada Ella untuk memilih hero gandingannya kelak.
Akui Ella juga, sebenarnya antara sebab yang sering menghalangnya daripada menerima tawaran berlakon adalah kerana dia tidak mempunyai bakat di dalam bidang tersebut, dan bukannya kerana kejayaan yang dinikmatinya Ella semakin jual mahal atau sombong.
"Ella suka tengok orang berlakon, tapi hakikatnya pada diri Ella sendiri, Ella tidak pandai berlakon. Itu sebabnya Ella tolak banyak tawaran sebelum ini kerana Ella tidak mahu kecewakan mereka," jelas wanita kelahiran Pulau Pinang ini.

ELLA bakal mengeluarkan jenama jeans sendiri pada tahun hadapan.


Mungkin ini masanya yang ditunggu-tunggu oleh peminat fanatik Ratu Rock ini, iaitu penghasilan sebuah album yang akan mengubati kerinduan mereka terhadap wanita berpewatakan manja ini.
Komitmen tetap Ella sentiasa difokuskan kepada penghasilan album baharunya yang belum lagi mempunyai judul. Apa yang dibicara Ella, album baharunya bakal dilancarkan sebelum hujung tahun ini yang mana progres album ini telah pun sempurna lebih daripada 50 peratus.
Album yang bakal lahir ini mengandungi lapan buah lagu dan single pertama daripada album tersebut bakal dikeluarkan dalam masa sebulan dua lagi.
"Album Ella belum lagi diberi judul kerana ia belum siap sepenuhnya. Bagaimanapun, album tersebut akan Ella lancarkan pada tahun ini juga. Kerana itu Ella sedikit sibuk dengan penghasilan album ini kerana Ella mahukan yang terbaik bagi album ini.
"Ella hanya memuatkan sebanyak lapan buah lagu kerana jika terlalu banyak, kelak orang tidak mahu mendengar. Jadi, biarlah ia menjadi cukup-cukup sahaja," jelas Ella yang mana albumnya akan diedarkan oleh Warner Music.

RESIPI kejayaan Ella bertahan adalah dengan mengekalkan kualiti kerjayanya.


Selain sibuk dengan penghasilan album, Ella juga di dalam perancangan untuk mengeluarkan jenama jeans sendiri. Ini kerana, ceritanya, setiap kali membuat penampilan di mana-mana persembahan dan negara, pasti peminat akan mendekatinya untuk bertanyakan mengenai jeans yang dipakainya.
"Peminat selalu tanya Ella, dari mana beli jeans, jenama apa, model apa, dan soalan-soalan yang terperinci. Jadi, setelah difikirkan, baik Ella mereka jeans sendiri dan menjualnya kepada peminat.
"Saya memang peminat jeans, jadi tidak salah jika saya berkongsi minat saya itu bersama peminat," tutur Ella yang juga mengatakan jeans itu akan dikeluarkan di dalam pelbagai saiz bagi lelaki dan wanita.
Jelasnya, mungkin jika tiada halangan, jenama jeans itu akan dilancarkan pada tahun hadapan selepas selesai dengan pelancaran album baharunya.
Menyelit persoalan yang sering ditanya pihak media mahupun peminat, bilakah Ella ingin mendirikan rumah tangga, jawab Ella diselangi ketawa besar dengan gelagat manjanya, Ella menjelaskan jika benar dirinya sudah berpunya dan ingin menamatkan zaman solonya, dia tidak akan menyembunyikan perkara tersebut.
Jelasnya juga, dia juga tidak akan teragak-agak untuk berbicara mengenai hal tersebut dan akan mengumumkan berita gembira itu.

Friday, 7 October 2011

Bayi 23 hari diliwat bapa


GOMBAK: Berang isteri dalam pantang enggan melayan kehendak seksualnya, seorang lelaki berusia 28 tahun bagaikan dirasuk syaitan apabila sanggup meliwat bayi lelakinya berusia 23 hari di dalam bilik di rumahnya di Taman Sunway, Batu Caves, di sini, kelmarin.
Lebih kejam apabila tangisan bayi malang yang menahan kesakitan itu langsung tidak diendahkan si bapa durjana, sebaliknya dia menjadi lebih rakus dengan bertindak menutup mulut anaknya itu menggunakan tangan dengan kuat, sekali gus menambah derita si kecil.

Bapa yang kejam itu berbuat demikian untuk mengelakkan tangisan bayi malang itu didengari isterinya yang ketika kejadian dilaporkan sedang berehat di ruang tamu rumah.

Sumber polis berkata, tindakan keji dan kejam itu hanya disedari ibu mangsa berusia 39 tahun kira-kira jam 4 petang apabila melihat mangsa tidak bermaya ketika mahu memandikannya.


“Si ibu terkejut apabila melihat bahagian mulut mangsa lebam. Pemeriksaan wanita itu kemudian mendapati bahagian dubur mangsa turut cedera.

Thursday, 6 October 2011

Pelakon nafi peluk, cium pasangan khalwat



ABDUL RAZAK hadir memberi keterangan di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya semalam.


PETALING JAYA - Pelakon dan penyanyi Abdul Razak Ahmad menafikan dirinya berkelakuan tidak senonoh dengan memeluk, mencium serta menyentuh seorang ahli perniagaan wanita yang ditangkap khalwat bersamanya lima tahun lalu.
Razak, 44, berkata, mustahil perbuatan itu berlaku kerana dia pergi ke sebuah premis stor dengan niat untuk mencuba pakaian yang ditaja oleh Selamah Sahudin, 45.
Razak menyatakan demikian sewaktu pemeriksaan balas oleh Pendakwa Syarie Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Shafezan Rusli dalam perbicaraan bela diri atas tuduhan khalwat di Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam.
Tertuduh bagaimanapun bersetuju dengan Shafezan bahawa dia berada di premis stor menyimpan pakaian milik Selamah itu selama satu jam setengah sebelum diserbu oleh suami wanita itu pada pukul 2.15 pagi.
Menurut Razak, dari pukul 1 pagi hingga 2.15 pagi, dia mencuba tiga pasang baju dan ketika serbuan dilakukan dia hanya memakai singlet tanpa lengan dan seluar kerana sedang mengeringkan peluh di dalam bilik utama premis itu.
Ditanya sama ada tujuannya membuka baju adalah untuk 'bersama' dengan Selamah, Razak menafikan.
Namun artis tersebut mengaku dia bukan mahram kepada Selamah dan tidak menegah Selamah menutup pintu utama selepas mereka masuk.
Menurut Razak, sebelum itu dia dan Selamah berjanji berjumpa di premis berkenaan dan kedua-dua mereka bergerak dari rumah masing-masing.
"Saya bergerak dari Pelabuhan Klang pada pukul 12 malam dan itu merupakan kali pertama saya ke sana, jadi saya beberapa kali menelefon Selamah bertanyakan arah dan jalan ke sana," katanya.
Razak dalam pada itu mendakwa hubungan dia dan Selamah hanya antara penaja dan artis, namun selepas diasak oleh Shafezan, dia akhirnya akur apabila memberitahu telah mengenali Selamah sejak 1982.
Razak yang diwakili peguam syarie, Mohammad Azman Karim didakwa berada bersama Selamah dalam keadaan yang menimbulkan syak di No. A-4-19, Blok A, Taman Serdang Perdana, Seri Kembangan di sini pada pukul 2.15 pagi 1 April 2006.
Ketika pertama kali didakwa pada 14 September tahun yang sama, Abdul Razak memohon dibicarakan tetapi Selamah didenda RM2,850 atau penjara tujuh bulan selepas mengaku bersalah.
Jika sabit kesalahan, Abdul Razak boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda RM3,000 atau kedua-duanya. Perbicaraan di hadapan Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Muhammad bersambung 10 November ini.

‘Sakit tiada kaitan Norman kahwin’


E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
KUALA LUMPUR: “Saya memang dimasukkan ke sebuah hospital swasta di ibu kota Sabtu lalu kerana tekanan perasaan tetapi ia tiada kaitan langsung dengan perkahwinan Norman dan isterinya, Memey,” kata pelakon Abby Abadi.
Abby, 33, menegaskan punca dia dimasukkan ke hospital swasta Sabtu lalu kerana mengalami tekanan perasaan yang disebabkan beberapa hal semasa membabitkan dirinya.

“Tolonglah jangan kaitkan isu Norman dan Memey dengan saya lagi. Jangan besarkan isu mereka dengan saya kerana tiada apa pun yang boleh membantu kehidupan saya,” katanya ketika dihubungi dan masih dalam keadaan tertekan.
Menurut Abby, dia dimasukkan ke hospital selama dua hari bagaimanapun dikeluarkan Isnin lalu atas permintaannya sendiri.

Abby ketika diajukan soalan sama ada isu perkahwinan bekas suami, masalah kerjaya dan kewangan menjadi punca dia dimasukkan ke hospital, dia dengan tegas enggan berkongsi masalahnya.

Melalui paparan yang dibaca di facebook Fanpage milik Abby, pelakon terbabit dimasukkan ke hospital selepas berdepan beberapa tekanan membabitkan masalah peribadinya.

Paparan itu juga menunjukkan Abby tertekan dengan keadaan dirinya sekarang ditambah dengan perkahwinan bekas suaminya, Norman Hakim, 35, bersama Memey Suhaiza, 23, atau nama sebenarnya Suhaiza Suhaimi.

Selain itu, di facebook miliknya juga tertulis setakat ini Abby belum mendapat sebarang tawaran berlakon dan memerlukan kewangan yang kukuh menyara tiga anaknya.
“Tumpuan saya sekarang hanya pada anak-anak. Saya bersyukur kerana rezeki lakonan masih ada, anak-anak pun macam biasa dan kes tuntutan hutang masih berjalan,” katanya.