
Prof Dr. Mohamed Mustapa Ishak (tengah) bersama anugerah yang dimenangi di Pulau Pinang, kelmarin.
KUBANG PASU 9 Ogos - Universiti Utara Malaysia (UUM) meraih tempat kedua dalam kalangan 20 institusi pengajian tinggi terbaik dunia daripada segi penggunaan paling tinggi pangkalan data maklumat Emerald bagi 2010.
Ketua Pustakawan UUM, Salleh Hudin Mustaffa berkata, ia peningkatan daripada tempat ketiga pada tahun sebelumnya sejak pangkalan data maklumat Emerald mula diperkenalkan pada 1967 oleh MCB University Press yang kini dikenali sebagai Emerald Group Publishing Limited (Emerald) yang beribu pejabat di United Kingdom.
“Lebih 45,000 organisasi termasuk universiti terkemuka, sekolah perniagaan, jabatan kerajaan dan syarikat-syarikat terkenal dari seluruh dunia melanggan pangkalan data maklumat ini,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian anugerah Emerald di Pulau Pinang semalam.
Pada majlis itu, Pengurus Perniagaan Emerald, Amex Tan menyampaikan anugerah tersebut kepada Naib Canselor UUM, Prof. Datuk Dr. Mohamed Mustapa Ishak.
Dua pensyarah dari UUM College of Busines (COB), Prof. Madya Dr. Wan Ahmad Nordin Wan Hussin dan Dr. Nurwati Ashikkin Ahmad Zaluki pula menangani kategori penulisan jurnal terbaik.
Salleh Hudin berkata, berdasarkan pengalaman sepanjang lebih 40 tahun, Emerald telah menerbitkan lebih 700 judul yang terkandung dalam lebih 200 jurnal berkualiti meliputi 32 bidang antaranya pengurusan, pemasaran, perniagaan, ekonomi dan sains sosial.
“Sebanyak 12 judul jurnal berkualiti telah ditambah pada tahun ini antaranya Pemasaran Seni, Projek Alam Bina dan Pengurusan Aset, Jurnal Perakaunan Dalam Ekonomi Baru, Jurnal Pengurusan Keluarga dan Sukan, Perniagaan dan Pengurusan,” katanya.
Menurut beliau, UUM mula melanggan pangkalan data maklumat Emerald sejak 10 tahun lalu memandangkan ia adalah pangkalan data maklumat yang sangat sesuai dengan bidang pengajaran dan pembelajaran universiti.
Sementara itu Wan Ahmad Nordin berkata, anugerah penulisan jurnal terbaik yang diperoleh diharap dapat menjadi perangsang kepada pensyarah lain untuk menghasilkan penulisan yang sama pada masa akan datang.
Nurwati pula berkata, untuk menghasilkan jurnal berkualiti mesti bermula dengan penyelidikan yang mendalam dan teliti supaya penulisan jurnal boleh dilakukan dengan lancar dan lengkap.
“Kami berdua bernasib baik kerana jurnal ini diterbitkan tanpa dibuat pembetulan, mungkin kerana ia berpunca daripada hasil penyelidikan yang mendalam sebelum kami menulis,” katanya.
No comments:
Post a Comment