Cinta anugerah teragung yang dicipta kepada manusia oleh Illahi... Hargailah ia sebelum ia pergi meninggalkan kita .. Hargailah Cinta sebelum ia Pergi x Kembali lagi..

Monday, 19 September 2011

Panggilan adik bertukar sayang




PERANCANGAN untuk mendirikan rumah tangga sebelum usia melebihi angka 30 tahun tercapai apabila aktor dan pengacara Ashraf Muslim telah selamat bergelar suami kepada wanita pilihannya yang merupakan bakal seorang doktor pada 1 Syawal lalu di hadapan Kaabah di Mekah.
Majlis persandingannya pula berlangsung dengan penuh meriah bertemakan warna ungu di kediaman keluarga pihak perempuan di Gombak pada Sabtu lalu.
Kata Ashraf yang ditemui pada majlis persandingannya itu: "Saya sudah lama mencari wanita untuk menjadi isteri saya kerana saya memang merancang untuk berkahwin sebelum usia 30 tahun. Tahun ini umur saya 30 tahun kiranya perancangan saya masih mengikut landasan.
"Saya tidak tahu nak cakap sampai seru ke tidak sebab ketika saya menunaikan umrah, nama Dayana yang muncul di fikiran saya. Itu yang membuatkan saya yakin, dia wanita yang tepat untuk saya, tambahan pula dia rapat dengan keluarga saya, bagi saya itu perkara paling penting."
Tegas Ashraf, dia sememangnya mahu mencari wanita yang solehah menjadi suri hatinya dan melihat Dayana cukup sempurna untuk dirinya.
"Memang saya berniat untuk cari wanita solehah sebagai isteri, walaupun tidak seratus peratus sempurna tetapi Dayana masih boleh dibimbing dan kerana itu hubungan kami lebih akrab dan kuat," ucap Ashraf sambil menjeling ke arah isterinya.
Bercerita lanjut mengenai pernikahannya yang berlangsung di Mekah pada 1 Syawal lalu, kata Ashraf, pernikahannya dilakukan pada selepas Asar mengikut waktu di Mekah dan pada pukul 9 malam mengikut waktu Malaysia berlangsung dengan sekali lafaz sahaja.
Bagaimanapun, Ashraf yang berada di sana lima hari selepas majlis pernikahan berlangsung, mengakui gementar tatkala menerima Dayana sebagai isteri.
"Selain ayahnya yang menikahkan kami, pernikahan yang berlangsung di hadapan Kaabah membuatkan saya bertambah gementar tetapi Alhamdulilah semuanya berjalan lancar, hanya dengan sekali lafaz, Dayana menjadi isteri saya.

IMPIAN Ashraf untuk mendirikan rumahtangga pada usia 30 tahun tercapai apabila 'seru'nya sampai tahun ini.


"Selepas nikah, kami menunaikan solat sunat nikah, kemudian melakukan tawaf sebanyak tujuh kali, sambil berdoa meminta yang terbaik untuk rumah tangga yang baru dibina," cerita Ashraf mengenai majlis pernikahan yang dihadiri 12 ahli keluarga termasuk mereka serta beberapa orang jemaah yang turut mengerjakan umrah bersama mereka pada bulan Ramadan.
Perubahan hidup
Ketika ditemui Kosmo! Ashraf baru bergelar suami selama 17 hari dan banyak perubahan dalam kehidupannya sejak Dayana, 24, menjadi suri hidupnya.
"Saya rasa kehidupan saya semakin teratur, makan minum terjaga. Sekarang semakin ringan kalau nak membuat sesuatu kerja kerana sudah berdua boleh saling membantu, tetapi tanggungjawab saya semakin berat sebagai seorang suami," kata Ashraf.
Apabila disoal siapakah Dayana di mata Ashraf, kedua-duanya tersipu-sipu malu dan tersenyum. Ashraf memulakan bicara, sebelum bertunang dan bernikah, dia hanya menganggap Dayana sebagai adik disebabkan dia menganggap bapa Dayana sebagai abang kerana dia bekerjasama dengan bapa Dayana di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah.
Bagaimanapun semuanya berubah selepas dia sah menjadi suami Dayana, kini panggilan sayang laju meluncur di bibir Ashraf sebagai ganti nama buat isterinya.
"Banyak yang berubah, daripada segi perkataan, layanan dia terhadap saya, kalau saya ada masalah, saya banyak luahkan kepadanya," ucap aktor yang popular dengan drama Ustaz Amirul itu lagi.
Dayana yang setia duduk di sebelah Ashraf pula menjelaskan, sebelum bernikah, mereka tidak begitu mengenali antara satu sama lain, kerana hubungan mereka berlangsung dengan begitu pantas.

USAI resepsi, pengantin ini terpaksa berkorban 'rindu' apabila Dayana perlu menamatkan pengajiannya di Melaka dan Ashraf berada di Kuala Lumpur.


"Kami bercinta selepas bernikah, sebelum itu biasa-biasa sahaja. Selepas bergelar isteri saya cuba untuk mengenalinya dengan lebih mendalam lagi. Alhamdulillah, saya lihat kami serasi dalam banyak perkara," tutur Noor Dayana.
Melaka, Kuala Lumpur
Tidak seperti pasangan suami isteri yang lain, Ashraf dan Dayana terpaksa berkorban untuk berpisah buat sementara waktu sehingga Dayana tamat pengajiannya dalam bidang perubatan di Universiti Mannipal, Melaka pada Mac tahun depan.
Disebabkan itu perancangan untuk memiliki cahaya mata dalam masa terdekat juga harus ditunda.
"Dia masih belajar, jadi untuk masa terdekat ini kami harus bercinta jarak jauh, hanya hujung minggu sahaja akan berjumpa. Saya akan tinggal bersama keluarga Dayana di Gombak, manakala Dayana pula akan menghabiskan pengajiannya di Melaka," kata Ashraf.
Disebabkan sibuk dengan jadual kerja dan kuliah, pasangan ini tidak akan pergi berbulan madu dalam waktu yang terdekat, tetapi mereka sudah mempunyai destinasi impian yang ingin dilawati bersama kelak.
"Sekarang saya tengah cuti semester, selepas ini akan sibuk dengan kuliah jadi tidak sempat untuk berbulan madu. Tetapi kalau destinasi pilihan, kami berdua pilih untuk ke New Zealand. Bila akan ke sana belum tahu lagi kerana abang Ashraf pun sibuk dengan kerjanya," kata Dayana yang semakin menyesuaikan diri dengan status selebriti suaminya itu.

Ahli biologi tangkap ular gergasi


NIALL MCCANN (kanan) bergambar dengan seekor ular sawa gergasi yang ditangkapnya di tebing Sungai Rewa, Guyana baru-baru ini.


GEORGETOWN - Seorang pengembara, Niall McCann berjaya menangkap seekor ular sawa gergasi sepanjang 5.48 meter dan seberat 100 kilogram di sebuah hutan di Guyana, lapor sebuah akhbar semalam.
McCann yang merupakan seorang ahli biologi dari Cardiff, Britain yang berusia 29 tahun menemui ular tersebut di tebing Sungai Rewa.
Dia menangkap ular tersebut bersama sekumpulan pasukannya yang terdiri daripada penduduk tempatan. - Agensi

Friday, 16 September 2011

Gorila mandi dalam tab mandi


SEEKOR anak gorila mandi dalam tab mandi dirakamkan di Zoo Twycross, Midlands pada 1967.


MIDLANDS, Britain - Seekor anak gorila, Joe gemar mandi di dalam tab mandi seperti kanak-kanak, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Joe dimandikan dalam sebuah bilik mandi di Zoo Twycross, Leicestershire.
Seterusnya, gorila itu bermain-main di sekitar tab mandi sebelum menuju ke arah tab lain dan cuba meminum air menerusi paip.
Rakaman tersebut dibuat pada tahun 1967 dan disimpan dalam arkib video British Pathe tetapi ia ditayangkan kepada umum baru-baru ini. - Agensi

Dapur tahun 1830-an ditemui di bawah rumah



PERIUK, botol dan peralatan dapur lama era 1830-an turut ditemui.


TAMAN CEFN LEA, Britain - Sepasang suami isteri, Archie Graham-Palmer, 41, dan Philippa, 37, menemui sesuatu yang sukar dipercayai apabila mereka menyelongkar ruang bawah rumah keluarganya di sini yang berusia 200 tahun, lapor sebuah akhbar semalam.
Ruang yang diselubungi dengan debu dan timbunan barang lama, rupa-rupanya telah dilengkapi dengan dapur yang berusia lebih daripada satu generasi.
Peralatan memasak telah dijumpai seperti cerek, periuk, kuali, pemotong pastri, alat pemadam api antik dan acuan jeli.
Dapur tersebut didakwa wujud pada tahun 1830an.
Tidak pernah digunakan lebih seratus tahun, dapur itu pernah digunakan ketika Perang Dunia Kedua semasa Jerman menyerang Britain kerana ia terletak di bawah tanah. - Agensi

Kaki kuda seperti kasut Aladin


KEEMPAT-EMPAT kaki kuda yang bernama Jerry mempunyai kuku seperti kasut Aladdin.


TAUNTON, Britain - Seekor kuda bernama Jerry diabaikan menjadi obes sehingga berat haiwan itu bertambah 127 kilogram (kg) dan mempunyai kuku kaki berbentuk kasut Aladdin, lapor sebuah akhbar semalam.
Aladdin ialah seorang pemuda Muslim yang mencari teko ajaib seperti diceritakan dalam kisah Seribu Satu Malam.
Namun nasib haiwan berkuku seperti kasut Aladdin itu bertukar apabila ia diselamatkan dari sebuah ladang di Somerset semasa ia hidup bersama sejumlah lembu.
Setelah dua tahun kuku kakinya tidak dipotong sehingga membuatkan haiwan itu kesakitan setiap kali berjalan, ia kini dirawat di sebuah pusat penjagaan haiwan.
"Kukunya sepanjang 30.5 sentimeter (sm) menyebabkan ia menjadi seperti kasut Aladdin," kata seorang penjaga di pusat pemulihan kuda HorseWorld, Joanne Vaughn.
Kuku itu sepatutnya dipotong setiap enam hingga lapan minggu bagi mengelak ia menjadi panjang.
Haiwan tersebut ditemui bersama seekor lagi kuda, Jojo, dalam keadaan menyedihkan oleh beberapa pegawai kebajikan haiwan.
Selama enam bulan menjalani pemulihan, Jerry kehilangan berat badan sehingga 114kg dalam tempoh enam bulan menyebabkan beratnya kini menurun kepada 438.17kg.
Selama tempoh itu juga, Jerry dan Jojo terpaksa mengambil ubat penahan sakit dan memakai alas kaki khas bagi membantu proses pemulihan mereka. - Agensi.

Cahaya misteri di selatan AS


SALAH satu imej bebola api yang ganjil dilihat penduduk di selatan AS pada Rabu lalu.


LOS ANGELES, Amerika Syarikat (AS) - Satu cahaya terang yang meluncur di langit barat daya AS pada waktu malam dipercayai merupakan sebutir asteroid yang memasuki atmosfera Bumi, kata seorang saintis Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika (NASA) kelmarin.
Ribuan orang dari selatan California hingga ke negeri Arizona melaporkan kepada pihak berkuasa tempatan dan pihak media pada Rabu lepas bahawa mereka melihat cahaya terang itu bergerak laju dari barat ke timur sekitar pukul 7.45 malam waktu tempatan.
Ramai yang memberitahu cahaya itu berwarna hijau kebiruan manakala sebahagian lagi menyatakan ia berwarna oren dan kuning.
Beberapa orang pula turut merakamkan cahaya ganjil tersebut.
Imej itu dilihat dari bandar Phoenix di negeri Arizona ke bandar Las Vegas, di negeri Nevasa dan Los Angeles di California.
Ketua Program Objek Berhampiran Bumi NASA, Don Yeomans berkata, beliau yakin cahaya itu berasal daripada pecahan asteroid sebesar bola keranjang atau bola besbol berbentuk bebola api yang memasuki atmosfera Bumi dan hancur sebelum ia jatuh ke tanah.
Menurutnya, fenomena itu merupakan kejadian biasa yang berlaku pada setiap minggu.
Namun, katanya, ia biasa berlaku di lautan dan jarang dilihat oleh manusia.
"Adalah ganjil objek sebesar ini dilihat di kawasan-kawasan penempatan penduduk," kata Yeomans.
Beliau menolak fenomena itu disebabkan oleh kapal angkasa lepas yang rosak yang jatuh ke Bumi kerana insiden itu boleh diramalkan sebelum ia berlaku. - Agensi

Planet dalam filem Star Wars ditemui


LAKARAN artis menunjukkan sebuah planet mempunyai dua matahari.


NEW YORK, Amerika Syarikat (AS) - fiksyen sains bertukar menjadi realiti apabila beberapa saintis menemui sebuah planet yang dikelilingi dua matahari, lapor sebuah akhbar semalam.
Penemuan itu dibuat lebih tiga dekad selepas fenomena tersebut pertama kali digambarkan dalam filem Star Wars. Satu adegan filem fiksyen sains berkenaan menunjukkan aktor Luke Skywalker berjalan di permukaan sebuah planet dengan dua matahari kelihatan di langit planet itu yang dikenali sebagai Tatooine.
Lebih tiga dekad kemudian, saintis-saintis AS menemui sebuah planet serupa yang dikenali sebagai Kepler-16b.
Saiz planet berkenaan sebesar Planet Zuhal dan ia terletak pada jarak 200 tahun cahaya dari Bumi.
Saintis-saintis AS membuat penemuan itu dari kapal angkasa Kepler milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika (NASA).
"Kita akan dapat melihat dua matahari pada waktu senja di planet itu," kata beberapa saintis berkenaan.
Seorang saintis Institut Carnegie di AS, Alan Boss memberitahu, planet Kepler-16b dikelilingi dua bintang.
Satu tahun di planet itu bersamaan dengan 229 hari di Bumi.
"Sekali lagi, apa yang dipaparkan dalam sains fiksyen bertukar menjadi realiti," kata Boss. - Agensi